Wan Mohd Nor Ibrahim dan Abdul Samat  bergambar bersama kakitangan dan pegawai bomba selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Putrajaya. Foto Noor Atiqah Sulaiman
Wan Mohd Nor Ibrahim dan Abdul Samat bergambar bersama kakitangan dan pegawai bomba selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Putrajaya. Foto Noor Atiqah Sulaiman
Nursyahirah Marzuki


KIRA-KIRA 700 agensi kerajaan dan swasta sudah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sejak ia dilaksanakan tahun lalu bagi menghapuskan gejala rasuah di negara ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Samat Kasah berkata, pihaknya mengambil pelbagai langkah sama ada secara rasmi atau tidak rasmi memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Penerimaan mereka terhadap IBR membuktikan usaha membanteras rasuah ini bukan hanya tanggungjawab SPRM semata-mata, tetapi ia adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh setiap masyarakat terutama penjawat awam.

"Kita bukan sahaja berharap program ikrar ini dapat menyelesaikan masalah rasuah tetapi, kita mahu menerapkan perubahan minda dan perbuatan masyarakat itu sendiri.

"SPRM mengambil pelbagai kaedah serta cara untuk menggerakkan hati dan naluri masyarakat mempunyai kesedaran tanggungjawab dalam memerangi rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani IBR di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya.

Hadir sama Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim .

Pada majlis itu, Wan Mohd Nor turut mengetuai warga JBPM melafazkan ikrar dan menandatangani IBR sambil disaksikan oleh Abdul Samat.

Abdul Samat berkata, pihaknya berharap IBR menjadi kesinambungan kepada pembabitan agensi kerajaan dan organisasi swasta lain untuk tampil secara sukarela menandatangani ikrar berkenaan.

"Jika tidak mahu buat untuk masyarakat pada masa kini, buatlah untuk masa depan anak dan cucu kita kerana sekiranya tidak membanteras gejala ini sekarang, sudah tentu pada masa hadapan ia akan jadi lebih teruk dan sukar dibendung," katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Nor berkata, pihaknya memandang serius terhadap gejala rasuah selain menekankan kesan yang diterima jika melakukan aktiviti berkenaan.

"Dibawah JBPM tidak banyak pegawai atau kakitangan yang disabitkan dengan rasuah atau salah guna kuasa tetapi itu bukan satu alasan untuk tidak menandatangani IBR," katanya.

IBR adalah inisiatif yang diperkenalkan SPRM hasil cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Ia memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan mereka lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama memegang jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:30 PM