Mohamed Ghazali (empat dari kanan) dan bersama Farah Ezrin (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian pelajar dua sekolah yang terpilih pada program pelancaran portal pendidikan NSTP, Kelas FullAMark. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Ghazali (empat dari kanan) dan bersama Farah Ezrin (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian pelajar dua sekolah yang terpilih pada program pelancaran portal pendidikan NSTP, Kelas FullAMark. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA sekolah di Johor menjadi perintis pakej portal pendidikan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) iaitu Kelas FullAMark yang dilancarkan hari ini.

Kelas FullAMark adalah pakej lanjutan terbaru daripada portal pendidikan ulung NSTP, FullAMark.

Program Sekolah Perintis FullAMark itu turut mendapat kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) membabitkan sekolah terpilih di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusof berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif dibuat NSTP kerana ia amat membantu pelajar khususnya yang berada dalam golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kita mahu membantu golongan B40 kerana kita lihat anak-anak mereka mempunyai berbakat dan berkebolehan, tetapi tiada peluang diberikan.

“Ini satu projek dalam talian yang boleh menjadikan pelajar kita mengubah suai kehendak mereka dalam pembelajaran. Mereka boleh mengembangkan cara berfikir dan pengetahuan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan pakej terbaru Kelas FullAMark itu kepada dua sekolah perintis terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat dan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) oleh Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi di tapak Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall, hari ini.

Selain itu, Mohamed Ghazali berkata, YRZSNJ yang ditubuhkan pada 2012 dan aktif pada 2014 itu sememangnya meletakkan matlamat untuk membantu rakyat khususnya di peringkat persekolahan.

“Kita mahu menekankan sesuatu nilai dalam generasi muda untuk mengaktifkan diri mereka. Kita beri bantuan biasiswa dan aktiviti sosial untuk meningkatkan pemikiran mereka menjadi bertaraf antarabangsa,” katanya yang meletakkan sasaran 5,000 pelajar pada masa akan datang untuk beroleh manfaat daripada program di bawah YRZSNJ.

Sementara itu, Farah Ezrin berkata, dengan Kelas FullAMark, ia boleh meningkatkan tahap interaksi guru yang memerlukan lebih penguasaan dalam bentuk lebih interaktif.

Katanya, guru boleh mengemaskini soalan tersendiri sebagai tambahan kepada soalan sedia ada di portal yang mana boleh memfokuskan kepada proses pembinaan yang dinamik.

Beliau berkata, dengan kerjasama YRZSNJ, dua sekolah perintis dipilih dan diberi akses kepada pakej terbaru NSTP itu sebelum diperkembangkan ke sekolah yang lain.

“Dalam projek perintis ini, kita pantau dalam masa tiga bulan dan lihat bagaimana perkembangan guru serta pelajar menerusi penggunaan portal ini.

“Sekiranya ia mendapat maklum balas yang sangat baik, kita akan mengembangkan inisiatif ini ke sekolah lain,” katanya yang memberitahu pengguna berdaftar FullAMark dari 2016 hingga kini adalah seramai 24,000 orang terdiri daripada guru, ibu bapa dan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 3:22 PM