ZULKIFLI membuktikan pokok strawberi turut boleh ditanam pada suhu 35 darjah Celsius.
ZULKIFLI membuktikan pokok strawberi turut boleh ditanam pada suhu 35 darjah Celsius.
HM Digital

Kepala Batas: Walaupun pokok strawberi biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi dan bercuaca sejuk, seorang pesara tentera membuktikan pokok berkenaan boleh tumbuh dengan baik pada suhu 35 darjah Celsius.

Malah, sentuhan Zulkifli Said, 50, dari Kampung Aman, dekat sini, membuahkan hasil kerana bermula dengan hanya menanam dua pokok strawberi pemberian rakan, dia kini mempunyai 700 pokok berkenaan yang ditanam dalam pasu.

Pokok strawberi ditanam Zulkifli turut menghasilkan buah berbau wangi dan manis, malah ada yang lebih besar daripada buah ditanam di Cameron Highlands terutama jenis Kamarosa.

Zulkifli berkata, selepas memulakan projek tanaman strawberi di halaman rumahnya lapan bulan lalu, dia kini mula menjual anak pokok berkenaan pada harga RM20 sepokok.

“Selain penduduk berhampiran, ada juga datang dari Selangor untuk membeli pokok strawberi kerana saya memuat naik mengenainya dalam akaun Facebook.

“Tiga jenis strawberi ditanam ialah Kamarosa, Fastival serta Lowland dan ia mengeluarkan buah selepas tiga bulan,” katanya.

Zulkifli berkata, bagi memudahkan pokok disiram secara sistematik, dia menggunakan kaedah fertigasi iaitu pelepasan air bercampur baja dikawal secara automatik dengan setiap kali siraman selama 25 saat.

“Pokok strawberi sensitif dengan cahaya dan akan mati jika suhu tanah terlalu panas. Jadi, bagi memastikan ia membesar pada suhu biasa 35 darjah Celsius, siraman air baja perlu dilakukan secara sistematik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:01 AM