Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 13 lokasi kawasan rekreasi dan air terjun di negeri ini berisiko berlaku 'kepala air'.

Timbalan Pengarahnya Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, lokasi itu ialah Titi Hayun dan Batu Hampar di Yan, Bukit Wang di Jitra, Sungai Kilim, Sungai Sedim dan Lata Junjung di Kulim.

Menurutnya, kawasan lain ialah Tupah di Bedong, Batu Pahat di Merbok, Puncak Janing di Padang Terap, Lubuk Semilang, Temurung, Telaga Tujuh dan Durian Perangin di Langkawi.

Katanya, empat kes kepala air dilaporkan berlaku di negeri ini iaitu di Tupah di Bedong, Batu Hampar di Yan, Jalan Datar dan Lubuk Semilang di Langkawi, tahun ini.

"Daripada semua kes itu, empat mangsa meninggal dunia, manakala 15 orang berjaya diselamatkan daripada dihanyutkan air deras.

"Kita nasihatkan mereka yang terperangkap dalam arus deras supaya cepat-cepat lari ke tempat lebih tinggi untuk menunggu bantuan tiba dan jangan bertindak sendiri dengan menyeberang ke tempat selamat kerana bimbang dihanyutkan air deras," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada perasmian majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna & Koperasi negeri Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah, Penguasa Bomba Kanan I, Nazri Zakaria.

Dalam majlis itu, seramai 61 anggota PBB terdiri daripada 55 lelaki dan enam wanita menamatkan latihan selama 10 hari berlangsung di BBP Yan bermula 7 Oktober lalu.

Mereka akan diserap ke empat BBP iaitu BBP Sik, Serdang, Guar Chempedak dan Amanjaya di Sungai Petani bermula pada 1 November ini.

Dalam pada itu, Mohd Zahar turut menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan rekreasi sekiranya hujan dan segera beredar jika ternampak cuaca gelap di atas gunung atau bukit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 3:14 PM