Zulkarnain bersama ahli keluarganya hadir pada sebutan kes, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD
Zulkarnain bersama ahli keluarganya hadir pada sebutan kes, hari ini. Foto AIZUDDIN SAAD
Nor Azura Abdul Jalil

KES membabitkan lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain akan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November ini.

Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Nur Ain Mustapa selepas pengurusan kes itu dibuat di hadapannya dengan dihadiri pihak pendakwaan dan pembelaan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri, masing-masing berusia 21 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Zulfarhan..

Turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi adalah kes ke atas Abdoul Hakeem Mohd Ali, 21, yang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh mangsa.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan sebahagian dokumen termasuk laporan bedah siasat kepada pihak pembelaan.

Manakala, kes membabitkan enam tertuduh itu bersama 13 individu lain yang didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan secara memeras mangsa bagi mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba akan disebut semula pada 27 Oktober ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Pada 14 Jun lalu, kesemua enam tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi, di sini, pada 21 dan 22 Mei lalu.

Sementara itu, bapa Zulfarhan iaitu Zulkarnain Idrus, ibunya Hawa Osman, 54, dan anak perempuan Zunfaiqah Lyana turut hadir ke mahkamah untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Hawa berkata, dia dan ahli keluarganya akan hadir ke mahkamah hingga ke akhir kes berkenaan kerana mahu kematian anaknya mendapat pembelaan.

Berita berkaitan

'Representasi ditolak [METROTV]'

[UPDATE] 'Lega tetapi tidak gembira...'

5 penuntut UPNM didakwa bunuh [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 2:36 PM