Azizan (kanan) bersama Mohamed Asri Redha (kiri) dan Zainudin menunjukkan dokumen aktiviti penggambaran program realiti dan Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa 2017 di Hotel Adya Langkawi, malam tadi. Foto HAMZAH OSMAN
Azizan (kanan) bersama Mohamed Asri Redha (kiri) dan Zainudin menunjukkan dokumen aktiviti penggambaran program realiti dan Pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa 2017 di Hotel Adya Langkawi, malam tadi. Foto HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman

PENGGAMBARAN program realiti sebuah stesen televisyen antarabangsa dan pertandingan separuh akhir Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa (RCPA) 2017 yang bakal berlangsung di Langkawi pada November dan Disember depan mampu melonjak sektor pelancongan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin berkata, penggambaran empat siri program realiti itu mengambil masa sembilan hari bermula 13 November ini, manakala RCPA 2017 pada awal Disember bakal meletakkan nama Langkawi di persada antarabangsa.

"Penggambaran program realiti membabitkan seramai sembilan peserta mewakili sembilan negara iaitu Amerika Utara, United Kingdom, Kazakhstan, China, Emiriah Arab Bersatu, India, Japan, Australia dan tuan rumah, Malaysia.

"Kru dan peserta berada di Langkawi selama sembilan hari dengan pelbagai aktiviti disusun termasuk acara di darat, laut dan mendaki Gunung Machinchang, selain aktiviti komuniti," katanya pada sidang media selepas sesi makan malam bersama pengusaha pelancongan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) LADA Mohamed Asri Redha Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi Zainudin Kadir.

Azizan berkata, program realiti itu bakal disiarkan menerusi rangkaian televisyen antarabangsa seperti Cable News Network (CNN), Travel Leisure Channel, majalah TIME, aplikasi kongsi video YouTube, Instagram dan Facebook.

"LADA komited menjayakannya bersama stesen televisyen antarabangsa itu seperti dirancangkan kerana program sedemikian mempunyai pengaruh besar kepada generasi muda di seluruh dunia, sekali gus mampu menggamit mereka untuk bercuti di Langkawi," katanya

Pada masa sama, Azizan berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan penganjur RCPA 2017 edisi ke-20 bagi membolehkan 60 jelitawan dari seluruh dunia sekali lagi berkampung selama tiga hari dua malam di pulau berkenaan.

"Tahun lalu, acara sama berlangsung dengan jayanya, malah peserta pertandingan turut mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi sesi silat dan tai chi di puncak tertinggi (Gunung Machincang) dengan penyertaan warga negara teramai.

"Pada kali ini kita mencadangkan kepada penganjur supaya peserta RCPA 2017 mencatat satu lagi rekod dalam MBOR menerusi acara pertunjukan fesyen di puncak tertinggi itu dengan penyertaan warga negara teramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 10:57 AM