FOTO Kementerian Kesihatan Malaysia
FOTO Kementerian Kesihatan Malaysia
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan sahkan Malaysia tidak import makanan periuk panas segera (instant hotpot) yang mengandungi daging ‘Ba Shu Hotspot’ atau ‘Ba Shu Lan Ren’.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu disahkan selepas meneliti Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM).

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai larangan import produk berkenaan oleh Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) Singapura.

“Ini kerana AVA Singapura hanya membenarkan produk makanan mengandungi daging sumber yang diluluskan oleh badan itu.

“Kami ingin maklumkan semua makanan import perlu mematuhi peruntukan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Katanya, kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Katanya, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat.

Noor Hisham berkata, pengguna juga boleh menyalurkan sebarang isu keselamatan makanan di http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq

Berdasarkan laporan berita Singapura, Ba Shu Lan Ren adalah produk berasal dari Chengdu, China.

Hadir dalam tiga perisa iaitu asli, nasi dan daging serta daging lembu.

Malah, ia dijual secara meluas secara atas talian seperti Qoo10 and Shopee Singapore selain Carousell.

Dalam perkembangan sama, AVA Singapura menasihatkan pengguna di republik itu supaya mendapatkan produk makanan menerusi sumber yang diakui sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 3:16 PM