PENGUATKUASA SPAN dan SYABAS memeriksa sambungan paip yang dibuat secara haram.
PENGUATKUASA SPAN dan SYABAS memeriksa sambungan paip yang dibuat secara haram.
HM Digital

Gombak: Curi dan pakai air terawat tanpa perlu membayar walau sesen pun. Itu antara tindakan sebuah syarikat kontraktor yang dipercayai menggunakan perkhidmatan air percuma selama 380 hari untuk kegunaan tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Taman Melati.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar apabila lokasi itu diserbu pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), semalam.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, pemeriksaan di tapak pembinaan itu mendapati wujud sambungan tidak sah menggunakan paip daripada paip utama SYABAS.

“Sambungan yang disyaki tidak sah ini dipercayai digunakan untuk aktiviti tapak pembinaan dan menampung kegunaan harian pekerja.

“Ujian klorin di tapak itu juga mengesahkan bekalan air yang diterima adalah air terawat,” katanya sejurus operasi dilakukan, semalam.

Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 123(3) dalam Akta yang sama.

Sementara itu, Pengurus Besar Media, Acara dan Komunikasi Korporat SYABAS, Siti Zubaidah Zakaria berkata, anggaran kerugian selama 380 hari itu adalah sebanyak RM145,364.59 bersamaan 63,756.40 meter padu bagi jumlah kehilangan air tidak berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:58 AM