Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir di Karnival Pekerjaan dan Kaunseling Kerjaya 2017 anjuran Perkeso dan Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir di Karnival Pekerjaan dan Kaunseling Kerjaya 2017 anjuran Perkeso dan Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


LEBIH 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Karnival Pekerjaan dan Kaunseling Kerjaya bersempena penganjuran Persidangan Psikologi Modal Insan 2017, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Karnival sehari anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu turut menampilkan 31 majikan terdiri daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA); Job Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, berbanding penganjuran karnival sebelum ini, pihaknya menyediakan kaunter Kaunseling Kaunselor dan Resume bagi memudahkan calon mendapatkan khidmat kaunseling percuma dan khidmat mencetak resume.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan dua kaunselor bagi membantu calon yang sedang mencari pekerjaan mendapatkan tips dalam memilih pekerjaan bersesuaian.

"Kami juga menyediakan Ujian Inventori Minat Kerjaya iaitu ujian khusus mengesan minat dan kecenderungan calon dalam memilih pekerjaan yang sesuai," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, pihaknya juga membawa seramai 150 calon Program Return to Work ke karnival berkenaan bagi memberi peluang mencari pekerjaan sesuai.

Dr Mohammed Azman berkata, Program Return to Work yang dijalankan pihaknya berfungsi menyediakan proses pemulihan menyeluruh bagi pekerja yang ditimpa kemalangan dan seterusnya membantu mereka mendapatkan pekerjaan sesuai.

Antara syarikat korporat yang mengambil bahagian pada karnival berkenaan termasuk IJM Highway; Aegis BPO; Uda Holdings Berhad; Puspakom; Econsave; QSR Brands Berhad; Ranhill Berhad dan Plus Malaysia selain JPA dan SPA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:16 PM