Nabil Basaruddin


AIRASIA X memperkenalkan Jeju yang terkenal dengan jolokan "Hawaii of South Korea" sebagai destinasi penerbangan terbarunya pada harga tambang promosi bermula dari RM199 sehala dengan penerbangan pertama pada 12 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, promosi istimewa itu untuk tempat duduk biasa manakala tiket sehala bagi tempat duduk Premium Flatbed ditawarkan pada RM899 dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu.

Beliau berkata, promosi bermula pada 10 hingga 15 Oktober 2017 bagi perjalanan antara 12 Disember 2017 hingga 25 Mac 2018 menerusi tempahan di laman web AirAsia, airasia.com.

"Kami berbangga menjadi syarikat penerbangan pertama mengendalikan penerbangan terus ke Jeju, Korea Selatan dari Kuala Lumpur sekali gus meningkatkan jaringan syarikat di Asia.

"Korea Selatan adalah pasaran penting dan kami melihat pertumbuhan luar biasa bagi destinasi sedia ada seperti Seoul dan Busan, jadi pengenalan Jeju menjadikannya saling melengkapi kepada perkhidmatan AirAsia X," katanya pada pelancaran laluan baru Jeju di Kuala Lumpur, hari ini.

Jeju turut popular sebagai lokasi Pulau Vulkanik dan Lava Tapak Warisan Dunia UNESCO meliputi Gunung Halla, iaitu gunung tertinggi di negara terbabit serta Air Terjun Cheonjiyeon dan Tapak Lava Geomunoreum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:16 PM
Pramugari AirAsia ketika majlis pelancaran laluan baru AirAsia X ke Jeju, Korea Selatan, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
Pramugari AirAsia ketika majlis pelancaran laluan baru AirAsia X ke Jeju, Korea Selatan, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA