NAZRI menyampaikan ceramah  pada pameran hartanah MyRumah 2017, semalam.
NAZRI menyampaikan ceramah pada pameran hartanah MyRumah 2017, semalam.
Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Keinginan untuk memiliki rumah pada usia muda menjadikan golongan muda antara paling banyak menjadi mangsa penipuan skim pembelian rumah pada harga murah.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Datuk Nazri Mustafa berkata, taktik yang kebanyakannya dijalankan secara individu atau menerusi pemaju tidak berlesen itu dikatakan menawarkan harga rumah yang murah serta harga tempahan lebih rendah berbanding produk hartanah lain di pasaran.

Beliau berkata, mereka yang tidak bertanggungjawab itu mempunyai sasaran tersendiri dengan menyasarkan golongan muda yang dilihat mudah terpengaruh dengan iklan dan tawaran tanpa selidik terlebih dahulu.

“Sebenarnya perkara ini berlaku sejak lama dahulu dengan taktik yang sama iaitu mengutip bayaran tempahan pada kadar yang rendah serta taktik jeratan di mana hartanah itu mungkin menjadi milik orang lain.

“Jadi orang ramai perlu berhati-hati apabila meneliti iklan hartanah serta maklumat dari ‘mulut ke mulut’ serta portal e-dagang kerana ia mungkin akan menjadikan anda mangsa seterusnya.

“Untuk membendung hal ini, bakal pembeli rumah khususnya perlu mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat dari pelbagai pihak sebelum terus mempercayainya bulat-bulat,” katanya ketika ditemui pada pameran hartanah MyRumah 2017 di sini, semalam.

MyRumah yang diadakan pada 6 hingga 8 Oktober itu menampilkan kira-kira tujuh pemaju kediaman tempatan dengan tawaran sehingga 3,500 unit rumah di samping ceramah berkaitan ilmu hartanah.

Nazri berkata, sebagai bakal pembeli rumah yang bijak orang ramai haruslah tidak terlalu taasub apabila diberikan tawaran begitu murah sebaliknya selidik terlebih dahulu produk serta syarikat pemaju berkenaan.

“Bakal pembeli perlu persiapkan diri sebaiknya seperti meluaskan rangkaian hubungan bersama pakar dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan ditipu.

“Setakat ini kita melihat banyak kes membabitkan penipuan pembelian rumah banglo murah kerana ia lebih mudah untuk menarik pembeli kerana dianggap sebagai tawaran pemilikan yang menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:46 AM