SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian pada program  6km Let’s Save Lives Fun Run, Jog and Walk sempena Pelancaran Minggu Kesedaran Penderma Organ 2017 di Putrajaya, semalam.
SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian pada program 6km Let’s Save Lives Fun Run, Jog and Walk sempena Pelancaran Minggu Kesedaran Penderma Organ 2017 di Putrajaya, semalam.
HM Digtal

Putrajaya: Anggapan agama melarang, jenazah akan menjadi cacat dan tidak tahu hasrat ahli keluarga yang meninggal dunia antara halangan utama pendermaan organ di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, sehingga kini kesedaran masyarakat untuk menjadi penderma organ masih rendah iaitu hanya 1.3 peratus yang berikrar sebagai penderma organ.

“Pendermaan organ dari segi hukum diharuskan bagi masyarakat Islam dan memang sudah ada fatwa, tetapi masyarakat masih lagi tidak memahami dan kurang pengetahuan mengenai perkara ini.

“Oleh itu, kami mahu masyarakat di negara ini terutama golongan muda tampil berikrar menjadi penderma organ,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program 6KM Let’s Save Lives Fun Run, Jog and Walk sempena sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MPKO) 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye.

Hilmi berkata, seorang penderma boleh menyelamatkan banyak nyawa dan secara purata lebih 50 peratus pesakit yang menerima rawatan pemindahan organ meneruskan kehidupan lebih 10 tahun.

Menurutnya, sehingga September lalu, jumlah pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ di negara ini adalah sebanyak 21,973 individu dan buah pinggang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 21,954 pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:22 AM