DATUK Seri Dr Hilmi Yahaya ketika melihat pameran selepas larian 6km Let's Save Lives Fun Run, Jog and Walk sempena Pelancaran Minggu Kesedaran Penderma Organ 2017 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Hilmi Yahaya ketika melihat pameran selepas larian 6km Let's Save Lives Fun Run, Jog and Walk sempena Pelancaran Minggu Kesedaran Penderma Organ 2017 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


ANGGAPAN agama melarang, jenazah akan menjadi cacat dan tidak tahu hasrat ahli keluarga (yang meninggal dunia) antara halangan utama berkaitan pendermaan organ di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, sehingga kini kesedaran masyarakat negara ini untuk menjadi penderma organ masih rendah iaitu hanya 1.3 peratus yang berikrar sebagai penderma organ berbanding negara maju lain.

"Pendermaan organ dari segi hukum diharuskan bagi masyarakat Islam dan memang sudah ada fatwa tetapi masyarakat masih lagi tidak memahami dan kurang pengetahuan mengenai perkara ini.

"Oleh itu, kita mahu masyarakat di negara ini terutama golongan muda tampil untuk berikrar menjadi penderma organ," katanya ketika ditemui selepas melancarakan Program 6KM Let's Save Lives Fun Run, Jog and Walk sempena sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MPKO) 2017 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye.

Hilmi berkata, seorang penderma boleh menyelamatkan banyak nyawa dan secara purata lebih 50 peratus pesakit yang menerima rawatan pemindahan organ dapat meneruskan kehidupan mereka lebih 10 tahun.

Menurutnya, sehingga September lalu, jumlah pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ di negara ini adalah sebanyak 21,973 individu dan buah pinggang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 21,954 pesakit.

"Selain itu, proses penerimaan organ ini akan dilaksanakan mengikut prosedur termasuk perbincangan dengan ahli keluarga dan sekiranya setuju kita akan terus bawa ke hospital yang melaksanakan pemindahan organ.

"Oleh itu, peranan badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat swasta perlu turut sama membantu dalam menyampaikan maklumat mengenai pendermaan organ kepada masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Lam Thye berkata, ketika ini pihaknya sedang bergiat aktif untuk berbincang mengenai langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kadar peratusan pendermaan organ di negara ini.

"Kita juga sedang mendapat bantuan daripada pihak swasta seperti PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan menyebarkan risalah mengenai pendermaan organ kepada pengguna jalan raya untuk memberi kesedaran dan menggalakkan mereka berikrar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 1:23 PM