Anggota bomba membantu mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba membantu mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman

LAPAN mangsa terperangkap dalam banjir kilat setinggi 0.9 meter ketika melalui jalan raya di Kampung Tersusun Batu 2 Tambahan, Tapah, jam 3.11 petang hari ini, sebelum enam daripadanya berjaya diselamatkan bomba.

Kesemua mangsa iaitu empat orang menaiki kereta Proton Waja dan dua lagi menaiki motosikal berjaya diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah manakala dua lagi yang menaiki treler berada dalam kenderaan mereka sehingga air surut.

Ketua Operasi dari BBP Tapah, Pegawai Bomba Kanan Dua, Rahman Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan sebaik tiba mendapati lokasi kejadian adalah kawasan rendah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan air hujan di dalam parit melimpah ke jalan raya selepas berlakunya hujan lebat dan ketinggian air adalah setinggi 0.9 meter.

Katanya, pihaknya mendapati sebuah kereta Proton Waja, sebuah treler dan 2 motosikal terperangkap dalam banjir kilat itu sebelum anggota melakukan kerja penyelamatan.

"Kesemua mangsa iaitu seorang lelaki serta tiga wanita di dalam Proton Waja dan seorang lelaki serta wanita menaiki motosikal berjaya diselamatkan dengan diberikan jaket keselamatan sebelum dibawa ke tempat tinggi.

"Dua lagi mangsa yang dalam treler berada dalam kenderaan mereka sehingga air surut dan operasi ditamatkan jam 4.57 petang selepas keadaan disahkan selamat," katanya.

#kw mangsa terperangkap, banjir kilat, Pegawai Bomba Kanan Dua, Rahman Ibrahim

#loc 4.19773, 101.261529

Keterangan Gambar:

PIX: Bomba melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat.

tamat///

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:25 PM