Anggota bomba mencari Mohamad Aminudin (gambar kecil) yang terjatuh ke dalam Sungai Parit Panjang di Kampung Lanai, Baling. FOTO Ihsan Bomba dan Safuri Kamarudin
Anggota bomba mencari Mohamad Aminudin (gambar kecil) yang terjatuh ke dalam Sungai Parit Panjang di Kampung Lanai, Baling. FOTO Ihsan Bomba dan Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


"SAYA sedang memasak dan tidak perasan dia keluar mengikut kakaknya untuk menghantar seorang rakannya pulang ke Pondok Misbah Al-Falah, kira-kira satu kilometer dari rumah kami sebelum terkejut jiran memaklumkan anak saya tergelincir ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras," kata Kalmawita Ya, 37.

Dalam kejadian 5 petang itu, anaknya, Mohamad Aminudin Mohd Nazri berusia lima tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sungai Parit Panjang di Kampung Lanai, Baling.

Kalmawita yang masih berpantang anak bongsunya, Mohamad Ashraf Izzudin, 30 hari berkata, Mohamad Aminudin mengikut kakaknya, Nurul Jannah,10, sebelum dia tergelincir ke dalam sungai.

"Saya tidak sangka dia keluar tanpa pengetahuan kami dan malang menimpa dirinya," katanya ketika ditemui di rumah mereka hari ini.

Sementara itu, Nurul Jannah berkata, sebelum kejadian, adiknya meniti titi besi namun tergelincir ke dalam sungai.

"Adik sempat memegang kayu di tebing sungai tetapi tidak mampu berpaut kerana arus deras.

"Saya turut terjun ke tebing untuk untuk menarik adik tetapi tidak terdaya sebelum dia dibawa arus," katanya.

Menurutnya, dia menjerit sekuat hati apabila melihat adiknya dibawa arus sebelum memaklumkan kepada jiran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Riduan Abd Malek berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu terus ke lokasi kejadian.

"Usaha mencari mangsa sedang dilakukan oleh bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 10:29 PM