Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


“KAMU kenal keluarga mangsa? Kalau ada peluang, minta maaf pada mereka,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohammad Khalid Ab Karim sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan empat sebatan ke atas seorang penganggur yang didakwa melakukan kelucahan melampau dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki, empat bulan lalu.

Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Azizi Firdaus Abu Samah, 25, mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan dihadapinya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merangsang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun untuk melakukan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di Taman Muhibah Saleng, Kulai, Johor, kira-kira 12 tengah hari, pada Jun 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, lelaki bujang itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tanpa kerelaan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah medan selera penjaja di Bandar Putra, Kulai, kira-kira 10 malam, 21 Jun lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, dia yang tidak diwakili peguam itu hanya memohon hukuman yang ringan dan memaklumkan kepada mahkamah dia tidak mengenali keluarga mangsa selain menghidap asma dan darah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan memohon hukuman yang boleh memberi pengajaran.

"Kes ini membabitkan kes seksual terhadap kanak-kanak yang mana kita lihat kerajaan juga memandang serius mengenai kes seperti ini," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan dua sebat bagi pertuduhan pertama dan enam tahun penjara dengan dua sebat bagi pertuduhan kedua yang berjalan secara berasingan berkuat kuasa tarikh tertuduh ditangkap, 22 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 1:31 PM