ABDUL Ghaffar menyeru ibu bapa untuk membuka akaun SSPN-i dan SSPN-i Plus serta berpeluang memenangi lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000.
ABDUL Ghaffar menyeru ibu bapa untuk membuka akaun SSPN-i dan SSPN-i Plus serta berpeluang memenangi lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000.
Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempelawa orang ramai termasuk peminjamnya hadir mendapatkan maklumat berkaitan di kaunter yang dibuka sempena Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Bhd (M) Berhad (NSTP), edisi keempat yang bakal berlangsung di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, mulai esok hingga Ahad ini.

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi peminjam mendapatkan info tepat termasuk penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman melalui kempen #BolehBincang yang mula dilaksanakan Mac lalu.

“Tujuan PTPTN menyertai pameran hartanah ini adalah untuk membantu peminjam PTPTN yang mempunyai rekod tidak baik di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) disebabkan mereka tidak membayar pinjaman PTPTN dan berhasrat untuk membeli rumah.

“Kami sedia membantu menyelesaikan masalah berkenaan dengan melakukan penjadualan mahupun penstrukturan semula pinjaman bagi membolehkan impian mereka membeli rumah tercapai.

“Menerusi kempen #BolehBincang juga, PTPTN mengharapkan lebih ramai peminjam tampil untuk berbincang dan berunding supaya mereka tahu PTPTN sentiasa memberi ruang untuk membantu menyelesaikan masalah peminjam.

“Bukan hanya membantu menyelesaikan masalah hutang mereka, malah apa juga permasalahan yang timbul berkaitan pinjaman PTPTN boleh kita lakukan,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Abdul Ghaffar, melalui kempen itu, peminjam khususnya lebih 423,000 yang culas membayar kini berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada saluran utama disediakan.

Antara saluran berkenaan adalah talian Careline, perbincangan dengan Eksekutif Pemasaran PTPTN, rundingan di pejabat dan cawangan PTPTN serta kaunter di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Kita tidak mahu mereka berasa takut atau menjauhi PTPTN kerana bayaran balik daripada mereka adalah penting untuk mengekalkan bantuan kewangan untuk generasi akan datang,” katanya.

Abdul Ghaffar menggesa peminjam untuk datang dan berbincang dengan PTPTN mengenai keadaan kewangan mereka.

“Selepas mengkaji setiap dokumen yang diperlukan dalam situasi kewangan mereka, PTPTN akan minta mereka untuk membayar bayaran pendahuluan mengikut kemampuan dan menyusun semula hutang mereka.

“Tempoh bayaran balik pinjaman ialah sehingga usia mereka 60 tahun. Bayaran balik akan dilakukan melalui potongan gaji atau direct debit di mana PTPTN akan memotong antara enam hingga lapan peratus daripada gaji mereka setiap bulan (berdasarkan keadaan kewangan peminjam),” katanya.

Tambahnya lagi, selepas proses rundingan, PTPTN akan mengeluarkan surat penjadualan semula pinjaman untuk menawarkan perjanjian pinjaman baru.

“Bagi mereka yang datang ke MyRumah, surat itu akan dikeluarkan terus kepada peminjam bagi rujukan pihak bank untuk tujuan menawarkan bantuan kewangan kepada pembeli rumah.

“Dengan perjanjian pinjaman baru itu, akan mencatat rekod yang baik untuk peminjam.

“Jika peminjam membuat penyelesaian sepenuhnya pula, rekod CCRIS sebelumnya akan dibersihkan dalam tempoh tujuh hari bekerja,” katanya.

Sementara itu, masih berbaki tiga bulan bagi peminjam menyegerakan pembayaran pinjaman menerusi diskaun ditawarkan kerajaan.

Pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN membabitkan insentif 15 peratus untuk peminjam yang membuat penyelesaian penuh keseluruhan baki pinjaman.

Selain itu, diskaun 10 peratus diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus keseluruhan hutang manakala diskaun 10 peratus bagi bayaran melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual ditetapkan.

Diskaun 15 dan 10 peratus itu layak diterima peminjam berkuat kuasa 22 Oktober 2016 sehingga 31 Disember ini.

Abdul Ghaffar berkata, insentif diskaun yang diberikan kepada peminjam adalah langkah untuk mengurangkan beban yang ditanggung peminjam.

Tawaran yang diberikan itu meningkatkan kesedaran peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui kaedah potongan gaji atau direct debit.

Bagi mereka yang mahu membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman dan mendapatkan diskaun 15 peratus juga boleh berbuat demikian menerusi simpanan Akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

PTPTN juga menetapkan 2017 sebagai Tahun Penabungan bagi menggalakkan orang ramai membudayakan amalan itu tanpa bergantung 100 peratus kepada pinjaman untuk melanjutkan pelajaran.

Justeru, dalam usaha menggalakkan orang ramai terutamanya ibu bapa berbuat demikian, PTPTN menyediakan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 untuk pendeposit skim simpanan pendidikan SSPN-i dan SSPN-i Plus menerusi Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN.

Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN ini merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa sebagai tanda penghargaan, dorongan serta galakan kepada orang ramai yang menyimpan dengan PTPTN.

Selain itu, ibu bapa yang mempunyai anak tahun satu di sekolah bantuan penuh kerajaan diminta merebut peluang disediakan melalui Insentif Khas Geran Sepadan bagi membolehkan mereka menerima tambahan keistimewaan simpanan secara percuma RM50 jika membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Untuk itu, peminjam PTPTN di Lembah Klang yang ingin membuat bayaran balik, ingin berbincang dengan PTPTN serta membuat penabungan pendidikan boleh mengunjungi kaunter PTPTN sempena Pameran Hartanah MyRumah NSTP 2017 yang akan diadakan di The Curve mulai esok hingga Ahad ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 11:09 AM