TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berbual bersama penerima organ selepas berucap merasmikan forum "Derma Organ : Ada Aku Kisah" di Putrajaya. Gambar kecil, Mohd Saberi Rashidi dan K Santi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berbual bersama penerima organ selepas berucap merasmikan forum "Derma Organ : Ada Aku Kisah" di Putrajaya. Gambar kecil, Mohd Saberi Rashidi dan K Santi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


WAJAHNYA seakan bercahaya dan berseri serta seolah-olah seperti sedang senyum.

Itu pengalaman K Santi, 38, yang berkesempatan melihat keadaan mayat mendiang ayahnya, G Krishnan, 62, selepas menjalani proses pendermaan organ beberapa tahun lalu.

Pengalaman itu dikongsi Santi dihadapan lebih 200 hadirin yang hadir pada Forum Derma Organ: Ada Aku Kisah? anjuran Unit Perkhidmatan Transplantasi, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Pusat Sumber Transplan Nasional, Putrajaya, pagi ini.

Santi berkata, dia masih tidak dapat lupakan pengalaman itu dan mayat ayahnya berada dalam keadaan normal.

Menurutnya, dia bersama ibu serta dua adiknya membuat keputusan untuk mendermakan hati dan buah pinggang ayahnya kepada penerima yang memerlukan.

"Saya pasti mendiang ayah turut bersetuju dengan tindakan itu," katanya yang pada ketika itu berkhidmat sebagai kordinator transplan di Pusat Sumber Transplan Nasional.

Katanya, dia tidak menyangka dapat merasai sendiri pengalaman menguruskan proses pendermaan organ bapanya sendiri biarpun sebelum itu terbabit mengendalikan banyak kes pendermaan organ orang lain.

Santi yang kini bertugas sebagai pengajar jururawat di Kolej Kesihatan Bersekutu Sungai Buloh berkata, mendiang bapanya disahkan mati otak selepas terjatuh di rumahnya di Felda Keratong, Pahang.

Menurutnya, dia juga mahu orang ramai membuang stigma ketakutan terhadap pendermaan organ kerana menganggapnya sebagai perkara yang mulia.

Sementara itu, seorang penerima organ, Mohd Saberi Rashidi, 46, berkata, dia bersyukur diberi peluang menjalani kehidupan normal hasil pendermaan organ buah pinggang dari isterinya sendiri, Zaiton Abdul Hamid, 43, sekitar tahun 2011.

"Saya perlu berterima kasih kepada isteri kerana tanpanya saya mungkin tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain serta mungkin akan berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pada sidang media di program sama berkata, setakat Januari lalu hingga sekarang, seramai 17 penderma organ direkodkan dengan keseluruhan 618 orang dicatatkan sejak program pendermaan organ dimulakan sekitar 1975 hingga kini.

Menurutnya, tahun ini sahaja, kementerian berjaya mendekati 50 ahli keluarga mangsa yang kematian otak untuk berbincang mengenai pendermaan organ namun, hanya 17 daripada mereka bersetuju mendermakan organ.

"Jumlah itu masih sedikit namun, kami faham ahli keluarga mempunyai hak untuk memberi kebenaran bagi mendermakan organ ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.

"Setiap tahun dianggarkan, sebanyak 300 sehingga 400 kes kematian membabitkan mati otak direkodkan namun, ada kebanyakan kes kematian tidak dilaporkan. Jika kesemua kes kematian ini dimanfaatkan untuk pendermaan organ, ia dijangka dapat memberi peluang dan manfaat kepada 3,200 penerima organ memandangkan setiap penderma boleh mendermakan sehingga lapan organ mereka," katanya.

Katanya, setakat ini, seramai 394,809 rakyat Malaysia sudah berikrar menderma organ selepas kematian iaitu mewakili 1.2 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 3:52 PM