KEADAAN kenderaan dipandu Muhammad Azharnizam (gambar kecil) selepas terbabit kemalangan.
KEADAAN kenderaan dipandu Muhammad Azharnizam (gambar kecil) selepas terbabit kemalangan.
Shahrul Nizam Mohamad

Maran: Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera ringan apabila kenderaan berat dipandu merempuh belakang sebuah treler di Kilomerer 189.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.51 pagi, mangsa, Muhammad Azharnizam Mamat, 27, berasal dari FELDA Kesidang, Jengka 8, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, lori dipandu Muhammad Azharnizam membawa minyak pelincir untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

Rakan mangsa, Mohd Kamal Abdul Razad, 36, berasal dari FELDA Bukit Sagu, Kuantan hanya cedera ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bandar Jengka, di sini, sebelum dibenarkan pulang.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, pemandu treler Mohd Rafi Abdullah, 51, bersama kelindannya, C Keteswaran, 32, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuantan untuk menghantar barang.

“Ketika tiba di tempat kejadian, Mohd Rafi mendakwa terasa dentuman kuat dari belakang dan berhenti di lorong kecemasan untuk melakukan pemeriksaan sebelum melihat lori dipandu mangsa ‘melekat’ di belakang trelernya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan mayatnya dibawa ke hospital berkenaan untuk dibedah siasat, tengah hari kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, keadaan cuaca gelap kerana tiada lampu jalan.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 6:46 AM