Mohd Zahid (dua dari depan) ketika menghadiri mesyuarat, semalam.
Mohd Zahid (dua dari depan) ketika menghadiri mesyuarat, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Lebih 300 pusat tahfiz di negara ini dilaporkan tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menyukarkan pemantauan dan kawal selia langkah keselamatan.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Mohd Zahid Mahmood berkata, berdasarkan rekod dibentang semalam, 618 pusat tahfiz yang berdaftar dengan JAKIM membabitkan jumlah 1,000 pusat tahfiz di seluruh negara.

“Hari ini (semalam) berlangsung perjumpaan antara PINTA dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa wakil kerajaan bagi membincangkan penyelarasan keselamatan kebakaran bagi institusi pendidikan agama.

“Persoalan ditimbulkan JBPM adalah mereka tidak tahu jumlah pusat tahfiz di negara ini dan meminta kerjasama PINTA mengesahkan angka sebenar.

“Berdasarkan rekod JAKIM, 618 pusat tahfiz berdaftar manakala sebahagian lagi tidak berdaftar. Ini menyukarkan pihak berkuasa mengawal selia langkah keselamatan di institusi agama itu,” katanya.

Katanya, dia berharap pusat tahfiz ‘haram’ segera mendaftar dengan JAKIM atau jabatan agama negeri untuk memudahkan kawalan langkah keselamatan.

“PINTA berperanan beri data rasmi kepada JBPM dan sebagai ‘orang tengah’ memujuk pusat tahfiz berdaftar dengan pihak berkuasa.

“Kami ambil tanggungjawab ini sebaik-baiknya demi keselamatan pelajar tahfiz di seluruh negara berikutan JBPM perlu menyediakan laporan lengkap kepada Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 4:28 AM