Rahmad Mega dilantik  Ikon Antidadah di kawasan Pasir Gudang untuk meningkatkan promosi kempen PDH.
Rahmad Mega dilantik Ikon Antidadah di kawasan Pasir Gudang untuk meningkatkan promosi kempen PDH.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Pelaksanaan Kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) yang dijalankan di seluruh negara berjaya membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor menurunkan jumlah penagihan baru dan membersihkan sarang penagihan dadah dengan lebih berkesan.

Kempen PDH dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 28 Februari 2016 sudahpun dilaksanakan selama dua tahun di negeri ini dengan kejayaan membanggakan.

Pengarah AADK Johor, Sidek Jaffar berkata, pada kempen PDH 2016, pihaknya hanya mengambil satu kawasan sebagai perintis dalam program berkenaan iaitu Pasir Gudang dengan meletakkan sasaran utama di Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, Kampung Pasir Puteh dan Felda Sungai Tiram.

Beliau berkata, di kawasan Pasir Gudang itu, pihaknya berjaya mengesan 602 penagih dadah dengan enam sarang penagihan dikenal pasti manakala 430 orang ditempatkan untuk pengawasan.

“Jumlah penagih baru di kawasan Pasir Gudang menunjukkan penurunan sebanyak 368 orang daripada 2,875 orang di seluruh negara bersamaan penurunan sebanyak 12.8 peratus.

“Selain itu, kita dapat membersihkan secara total dua sarang penagihan yang dikesan iaitu ‘Port Getah’ di Jalan Masai Lama dan ‘Port Pulau’ di Taman Rinting.

“Ia sekali gus menunjukkan impak keberkesanan PDH mencapai 83.8 peratus dari segi pelaksanaannya,” katanya.

Menurutnya, tujuh program dirangka bagi menjayakan program PDH di negeri ini antaranya melalui Omnipresence, Community Empowerment, Ops Pengesanan dan Penahanan, Ops Bersepadu, Outreach, media dan Ikon Antidadah.

Katanya, AADK negeri turut melantik Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad sebagai Focal Person yang berperanan sebagai individu memberi impak positif kepada program PDH di kawasan Pasir Gudang.

“Kita juga melantik penyanyi terkenal, Rahmad Mega sebagai Ikon Antidadah di kawasan Pasir Gudang sebagai individu yang dapat meningkatkan promosi kempen PDH serta menggalakkan pembabitan golongan sasar dalam setiap program PDH,” katanya.

Beliau berkata, pada PDH 2.0 yang dijalankan bermula Januari 2017 hingga Julai lalu, sebanyak enam kawasan sasaran ditambah di seluruh negeri ini.

Katanya, kejayaan PDH sepanjang tahun lalu mendorong kerajaan memperluaskan kempen PDH kepada 50 kawasan baru di seluruh negara termasuk enam di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 4:14 AM