Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz (kiri) beramah mesra dengan dua Alumni Politeknik yang dipilih selaku Ikon TVET, Selevtone Junit ( dua kiri) dan Nik Nasarudin Husain (dua kanan). FOTO Osman Adnan
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz (kiri) beramah mesra dengan dua Alumni Politeknik yang dipilih selaku Ikon TVET, Selevtone Junit ( dua kiri) dan Nik Nasarudin Husain (dua kanan). FOTO Osman Adnan
Fuad Hadinata Yaacob


LIMA inisiatif diumumkan Perdana Menteri dalam melonjakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan membangunkan pelan induk komprehensif atau TVET Masterplan yang bakal diselaraskan Kementerian Sumber Manusia dengan dibantu enam kementerian lain.

Beliau berkata, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) turut memperuntukkan 30 peratus daripada levi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program strategik sebagai usaha untuk menyokong pencapaian matlamat nasional dalam meningkatkan taraf peratusan pekerja mahir di Malaysia.

Selain itu katanya, sejajar dengan aspirasi dan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kerajaan melalui PSMB turut memperuntukkan dana RM50 juta daripada 30 peratus dana terkumpul PSMB bagi tujuan TVET.

"Tumpuan khusus akan diberikan dalam usaha mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global.

"Selain itu, bagi menyokong Revolusi Industri 4.0 ini, kerjasama juga turut diadakan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran, politeknik, universiti serta pertubuhan majikan dengan jumlah peruntukan RM75 juta.

"Di samping itu, kerajaan juga akan mengkaji semula kadar dan caj berkaitan pemfailan harta intelek serta insentif yang sesuai bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dihasilkan terutamanya melalui institusi TVET," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Shah Alam hari ini.

TVET Malaysia adalah kempen untuk memberi kesedaran kepada rakyat terutama golongan muda.

Kempen itu bertujuan menggalakkan masyarakat Malaysia untuk menceburi latihan berkenaan sebagai pilihan utama dalam usaha membina kerjaya yang cemerlang serta mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap TVET.

Ia juga bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai peranan dan potensi TVET dalam meluaskan akses kepada latihan dan pembelajaran sepanjang hayat untuk rakyat tanpa mengira latar belakang akademik dan sosial.

Najib berkata, kerajaan menyedari pendidikan, latihan teknikal dan vokasional di negara ini mempunyai pelbagai dimensi serta ditawarkan dalam pelbagai bentuk program.

Lantaran itu beliau berkata, dalam menganjak lonjakan transformasi TVET adalah dengan menjenamakan institusi TVET di negara ini.

“Melalui identiti €œTVET Malaysia€ ini, semua institusi TVET di bawah pelbagai kementerian diseru bersatu dan bergabung tenaga sebagai kolaborasi unggul lagi bersepadu, bagi melatih warga Malaysia khususnya anak-anak muda kita untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

“Penjenamaan TVET Malaysia ini boleh dilihat sebagai usaha bagi memantapkan kolaborasi di antara semua pihak berkepentingan dalam bidang TVET di semua peringkat di samping dapat mempromosi TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan dan mempunyai potensi tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 8:37 PM