AZIZAH (tengah) melihat aplikasi MyBIM ketika majlis pelancaran. Turut kelihatan Shahrir (kiri), Yatela (dua kiri) dan Mohamad Sazali (kanan). FOTO Nursyahirah Marzuki
AZIZAH (tengah) melihat aplikasi MyBIM ketika majlis pelancaran. Turut kelihatan Shahrir (kiri), Yatela (dua kiri) dan Mohamad Sazali (kanan). FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


PERSEKUTUAN Orang Pekak Malaysia (MFD) melancarkan aplikasi mudah alih bahasa isyarat pertama di Malaysia, MyBIM untuk membantu golongan kurang upaya (OKU) pendengaran berkomunikasi dengan masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) itu dapat memberi pengetahuan asas kepada masyarakat mengenai bahasa isyarat.

Ia menyediakan media interaktif seperti gambar dan video sebagai alat bantuan pembelajaran kepada pengguna, katanya.

"Ketiadaan jurubahasa isyarat adalah masalah yang sering dihadapi oleh golongan OKU pendengaran, selain berhadapan dengan pelbagai kesukaran untuk berkomunikasi.

"Oleh itu, aplikasi MyBIM yang lengkap dengan 500 kosa kata bahasa isyarat Malaysia dalam 36 kategori asas yang berbeza termasuk nama tempat, nombor, ucapan dan warna dapat memudahkan komunikasi antara golongan pekak dengan keluarga, rakan atau masyarakat sekeliling," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi MYBIM di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Penasihat MFD, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Presiden MFD, Mohamad Sazali Shaari; dan Ketua Pegawai YSD Yatela Zainal Abidin.

Azizah berkata, aplikasi itu sudah lama diperkatakan dan menjadi satu impian komuniti OKU pendengaran untuk melihat masyarakat di negara ini mempelajari bahasa isyarat dengan mudah.

"Jangan anggap OKU pendengaran ini tidak mempunyai bakat atau kebolehan kerana mereka juga boleh melakukan pelbagai perkara sama seperti individu yang tidak mempunyai masalah pendengaran.

"Aplikasi ini sangat menarik kerana ia dapat memberi pendedahan kepada masyarakat sekali gus mengurangkan tahap ketidakupayaan yang dihadapi komuniti pekak ini.

"Saya percaya aplikasi ini mampu memberi perkembangan positif dalam berkomunikasi bukan sahaja di kalangan warga pekak Malaysia tetapi juga masyarakat umum yang ingin mempelajari bahasa isyarat," katanya.

Aplikasi ini boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Pay Store secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:47 PM