Kemalangan mengorbankan Muhamad Shaiful di persimpangan lampu isyarat Limbongan Permai, Melaka, semalam. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Kemalangan mengorbankan Muhamad Shaiful di persimpangan lampu isyarat Limbongan Permai, Melaka, semalam. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


PEKERJA penyelenggaraan pendingin hawa, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang melanggar kereta yang membuat pusingan U sebelum terbakar, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Limbongan Permai, Melaka, semalam.

Dalam kejadian 10 malam, mangsa, Muhamad Shaiful Azman, 20, menunggang motosikal Yamaha RXZ, terbabit kemalangan sebaik melalui persimpangan itu apabila kereta Toyota Vios membuat pusingan U.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, motosikal ditunggang Muhamad Shaiful dan Ahmad Helmi Arifin, 21, yang menunggang Yamaha 125Z datang dari arah Limbongan menuju ke bandar Melaka.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Limbongan Permai, kereta Toyota Vios dari arah bandar Melaka melakukan pusingan U menyebabkan berlaku kemalangan.

"Motosikal ditunggang Muhamad Shaiful terbakar dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat parah di kepala.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan tahap kecederaan kerana belum membuat laporan dan sudah tiada di lokasi kemalangan.

Afzanizar berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 10:56 AM