Rusli (kanan) mengadakan lawatan di rumah Salmiah  yang dilanda banjir. FOTO Nur Syazwana Mansor.
Rusli (kanan) mengadakan lawatan di rumah Salmiah yang dilanda banjir. FOTO Nur Syazwana Mansor.
Nur Syazwana Mansor


PENDUDUK Kampung Singkir Darat, Yan terpaksa ambil masa enam jam mencuci rumah dipenuhi lumpur akibat banjir kilat semalam.

Salmiah Awang, 66, berkata, dia terpaksa menimba air hampir enam jam yang bertakung di dalam rumahnya selepas banjir kilat mula surut hari ini.

Menurutnya, memang letih kerana setiap kali banjir terpaksa menimba air yang bertakung selain perlu mengelap lantai dari kesan lumpur namun dia bernasib baik ada anak-anak pulang membantu membersihkan rumah.

"Barangan rumah juga banyak yang rosak, tikar getah terpaksa dibuang dan diganti baru kerana yang sebelum ini sudah koyak akibat banjir.

"Saya harap, ada tindakan susulan yang diambil untuk atasi masalah ini dari kerap berlaku," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Singkir Darat, Yan, di sini, hari ini.

Darus Hasan, 88, pula berkata, lokasi rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter sahaja dari kawasan sungai menyebabkan kediamannya antara yang terawal dimasuki air.

Katanya, setiap kali hujan lebat dan berterusan pasti rumahnya akan dimasuki air menyebabkan dia terpaksa mencuci rumah yang dipenuhi lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Singkir Darat, Rusli Hasan berkata, air mula naik kira-kira jam 9 pagi dan mula surut pada jam 4 petang semalam.

Menurutnya, ini adalah kali ketiga kawasan kampung mereka dilanda banjir paling teruk berbanding kejadian sebelum ini.

"Kali pertama berlaku Mei lalu membabitkan tujuh buah rumah sahaja yang terjejas, manakala kali kedua pada Ogos lalu membabitkan sebanyak 95 buah rumah terjejas dan jumlah itu meningkat pada kali ini menjadi 165 buah rumah.

"Selain faktor hujan berterusan dan air pasang, keadaan sungai yang makin cetek juga menjadi faktor air hujan melimpah sekiranya hujan berterusan lebih dari dua jam," katanya ketika ditemui sewaktu mengadakan tinjauan di rumah penduduk kampung yang terjejas.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menjalankan tinjauan dan mendapatkan senarai nama mangsa banjir yang terjejas untuk memohon bantuan dari pihak berwajib.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 3:02 PM