ANGGOTA tentera bersama ahli sindiket penyeludupan burung murai dan 56 sangkar.
ANGGOTA tentera bersama ahli sindiket penyeludupan burung murai dan 56 sangkar.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Tebedu: Permintaan burung murai yang tinggi daripada rakyat negara jiran menyebabkan sindiket penyeludupan haiwan itu sanggup menggajikan warga asing bagi menyeludup masuk burung berkenaan ke Kalimantan Barat, Indonesia menggunakan laluan tikus.

Terbaru, cubaan menyeludup keluar sebanyak 672 ekor burung murai yang dianggarkan bernilai RM23,520 dari negara ini berjaya dipatahkan pegawai dan anggota Batalion ke-10 Rejimen Renjer Diraja, kelmarin.

Difahamkan, burung murai diperoleh dari kawasan hutan di negeri ini sebelum dijual pemikat burung kepada individu tertentu dengan bayaran sebanyak RM35 seekor.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, tangkapan membabitkan empat lelaki Indonesia berusia 29 hingga 32 tahun itu dilakukan kira-kira jam 4.40 pagi ketika pasukan rondaan terserempak dengan sekumpulan individu mencurigakan.

Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan membawa 56 sangkar berisi burung murai di laluan tikus berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Tebedu.

“Ketika ditahan suspek tidak dapat melarikan diri kerana membawa sangkar berisi burung dan semua mereka dapat ditahan di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka menerima upah oleh individu tertentu sebanyak RM50 setiap seorang untuk menyeludup masuk burung murai ke Kalimantan Barat,” katanya.

Beliau berkata, kawasan hutan di Tebedu yang bersempadan dengan Indonesia menyebabkan suspek menggunakan laluan tikus dan bergerak pada awal pagi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, pasukan rondaan sama menahan dua lelaki Indonesia yang cuba menyeludup masuk ke negara ini dengan membawa sejumlah racun dipercayai untuk kegunaan pertanian kira-kira jam 2 pagi hari sama.

“Semua rampasan diserahkan kepada Balai Polis Tebedu manakala semua lelaki Indonesia yang ditahan tidak memiliki pasport dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Semuja di Serian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 4:31 AM