KEADAAN kapal yang berlanggar di Singapura. FOTO EPA
KEADAAN kapal yang berlanggar di Singapura. FOTO EPA
Mohd Sabran Md Sani


DUA daripada lima anak kapal korek JBB DE RONG 19 yang hilang selepas berlanggar dengan sebuah kapal tangki KARTIKA SEGARA di Singapura berjaya ditemukan petang ini.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam kenyataan rasminya berkata, sehingga jam 4 petang tadi pasukan penyelam menemui dua daripada lima mayat hilang itu.

"Pasukan penyelam menemui dua daripada lima anak kapal JBB DE RONG 19 yang hilang berikutan pelanggaran dengan kapal tangki berdaftar di Indonesia di perairan Singapura yang berlaku jam 12.40 tengah malam tadi.

"Dalam kejadian itu 12 anak kapal berada di atas kapal dan tujuh daripadanya dikejarkan ke Hospital Umum Singapura, sementara lima yang lain hilang sebelum dua ditemui sehingga jam 4 petang tadi," katanya.

Katanya, MPA terus memimpin operasi SAR dengan sokongan dari agensi-agensi Singapura yang berkaitan.

"Ini termasuk dua Super Puma, dua Chinook dan sebuah Fokker daripada Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan 15 kapal MPA.

"Turut membantu Angkatan Laut Republik Singapura dan tujuh kapal dari Pasukan Polis Pengawal Pantai Singapura dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura," katanya.

Katanya, kira-kira 200 anggota terbabit dalam operasi SAR itu.

Pada masa sama, MPA sudah memaklumkan kepada Pusat Penyelarasan Penyelamat Indonesia mengenai kejadian itu dan menggerakkan lima kapal membantu SAR di wilayah Indonesia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MPA, Andrew Tan mengucapkan takziah kepada keluarga dua mayat ditemui dan mereka yang cedera kembali pulih.

"Kami akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat untuk mencari tiga lagi anak kapal yang hilang.

"Tidak ada laporan mengenai tumpahan minyak atau gangguan lalu lintas di Selat Singapura, manakala MPA sedang menyiasat kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 7:04 PM