NOOR Azam  menunjukkan   individu  diminta  tampil bantu siasatan berhubung kes penipuan dalam talian.
NOOR Azam menunjukkan individu diminta tampil bantu siasatan berhubung kes penipuan dalam talian.
Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Kes penipuan dalam talian di negeri ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan kira-kira 50 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihak polis merekodkan sebanyak 225 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu, namun meningkat kepada 540 kes bagi tempoh sama, tahun ini.

Katanya, ia membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM4.32 juta manakala tahun lalu, hanya RM1.77 juta.

“Penipuan online (dalam talian) itu adalah menerusi pembelian secara atas talian, Parcel Scam, Macau Scam dan pinjaman wang yang tidak wujud.

“Kita mendapati sindiket terbabit menawarkan harga murah menerusi laman web terkemuka menyebabkan ramai yang tertarik dan menjadi mangsa. Ada juga yang menggunakan taktik perkenalan di laman sosial dan menawarkan untuk menghantar barang sebelum memerangkap mangsa membuat bayaran,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket terbabit didalangi warga asing dan rakyat tempatan.

“Sindiket itu menggunakan akaun bank pihak ketiga untuk mengaburi mangsa. Pemilik akaun terbabit pula akan mendapat komisyen daripada transaksi itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Noor Azam berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan pemilik akaun juga boleh didakwa kerana bersubahat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 6:32 AM