Anggota bomba membawa turun mangsa yang sesat di Bukit Broga, Semenyih, hari ini. FOTO ihsan Bomba
Anggota bomba membawa turun mangsa yang sesat di Bukit Broga, Semenyih, hari ini. FOTO ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT sekeluarga sesat selepas mendaki Bukit Broga, Semenyih kira-kira jam 1 petang, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 petang sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kami menerima panggilan dari salah seorang mangsa iaitu Fatin Nadiah Mat Arip, 25, yang memaklumkan dia bersama kakaknya, Hayaty Mat Arip, 44, serta anak saudaranya, Muhammad Saadun, 18, dan Siti Fatimah Saadun, 13, sesat di bukit berkenaan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada jam 1.15 petang sebelum mereka berjaya ditemukan pada jam 2.16 petang" katanya.

Mohd Sani berkata, ketika ditemui, salah seorang mangsa iaitu Hayaty mengalami kekejangan pada bahagian kaki.

"Kami terpaksa menggunakan pengusung untuk membawa mangsa menuruni bukit berkenaan.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 5:24 PM