Anggota polis memeriksa mayat seorang lelaki yang ditemui terbaring dipercayai dibunuh dengan tikaman diperut di Jalan Meru Bestari A9, Meru Raya, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Anggota polis memeriksa mayat seorang lelaki yang ditemui terbaring dipercayai dibunuh dengan tikaman diperut di Jalan Meru Bestari A9, Meru Raya, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di perut di Jalan Meru Bestari A9, Meru Raya, Ipoh lewat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam jam 6.42 petang mengenai penemuan seorang lelaki ditemui terbaring di jalan berkenaan.

Menurutnya, anggota polis kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati maklumat diterima adalah benar sebelum pasukan paramedik yang tiba dilokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan mendapati mangsa adalah lelaki India tempatan berasal dari Sitiawan berusia 44 tahun.

"Terdapat kesan kecederaan di perut mangsa dipercayai ditikam dengan senjata tajam," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian sebentar tadi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui barangan peribadi mangsa termasuk dompet dan satu beg galas berhampiran mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saksi kejadian serta mengenalpasti motif pembunuhan," katanya.

Difahamkan satu senjata tajam turut ditemui dilokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 9:40 PM