WAN Junaidi
WAN Junaidi

Putrajaya: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Malaysia tidak berdepan kesan fenomena El Nino dan La Nina tahun ini berikutan bacaan suhu permukaan lautan Pasifik yang berada pada julat normal.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ramalan dalam tempoh enam bulan itu dibuat MetMalaysia berdasarkan kaedah saintifik yang merujuk sepenuhnya kepada suhu di lautan Pasifik.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan sama dibuat MetMalaysia sebelum ini, tiada tanda El Nino (cuaca panas, kering dan kekurangan jumlah taburan hujan) atau La Nina (hujan lebat luar biasa) melanda negara tahun ini.

“Ketika ini bacaan suhu menunjukkan ia dalam julat normal iaitu -0.5 hingga 0.5, dan dijangka untuk tempoh enam bulan ke hadapan masih dalam julat normal.

“Berikutan itu, tiada suhu panas luar biasa dan kemarau dijangka berlaku, selain negara dijangka menerima jumlah hujan normal dan tiada jerebu teruk,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bilangan Dua 2017, di sini, semalam.

Katanya, Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dijangka berakhir hujung bulan ini dan fasa peralihan monsun dijangka berlaku Oktober depan, manakala monsun timur laut yang membawa hujan dijangka bermula pertengahan November.

Wan Junaidi berkata, sekiranya banjir berlaku, ia mungkin disebabkan pertembungan antara hujan lebat dan air pasang tinggi di laut namun ia tidak seteruk banjir besar pada 2014 yang melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, beliau yakin ramalan dibuat MetMalaysia tepat berdasarkan rekod ramalan tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:35 AM