Abdul Rahim
Abdul Rahim
Mohd Sabran Md Sani


JEMAAH Majlis Diraja Johor mengumumkan penukaran gelaran bahasa 'His Royal Highness' Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada 'His Majesty'.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata Sultan Johor juga berkenan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dibahasakan 'Her Majesty'.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim, dengan keistimewaan hak dan kuasa Tuanku di bawah Bahagian Kedua 7(2)(d)(f) dan (g) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 telah suka berkenan menukar gelaran bahasa 'His Royal Highness' kepada 'His Majesty'.

"Gelaran dalam bahasa Melayu 'Duli Yang Maha Mulia' bagi Tuanku dan Tuanku Permaisuri adalah dikekalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mulai hari ini, gelaran rasmi Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim.

"(atau) Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Johor atau Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor atau Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor," katanya.

Beliau berkata gelaran Permaisuri Johor pula Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

"(atau) Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah, Permaisuri Johor atau Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 4:06 PM