MANGSA diberi rawatan oleh pasukan perubatan. FOTO ihsan Bomba
MANGSA diberi rawatan oleh pasukan perubatan. FOTO ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman

LELAKI yang dilaporkan hilang ketika menjalankan penyelidikan di Hutan Simpan Deramakot, Tongod, Kinabatangan, Selasa lalu, ditemui selamat, 11.45 pagi, hari ini.

Mangsa, Tajuddin Mustapha, 44, ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tidak bermaya.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, mangsa ditemui di kilometer 6 di jalan tidak berturap di dalam kawasan hutan simpan berkenaan oleh pasukan SAR dalam keadaan keletihan sebelum dibawa ke pos kawalan.

"Mangsa kemudian diberi rawatan awal di pos berkenaan sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

"Operasi SAR membabitkan 50 anggota dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dan Kinabatangan, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta kakitangan Jabatan Perhutanan," katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang pada Selasa lalu selepas menjalankan kerja inventori di kawasan hutan simpan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 2:08 PM