Syah Rul Aswari Abdullah


PEGAWAI polis berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ditahan Isnin lalu, bagi membantu siasatan berhubung kes memperoleh rasuah RM20,000 daripada seorang ceti haram sebagai bayaran perlindungan bulanan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berkata, suspek berusia 34 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di IPD berkenaan.

Menurutnya, suspek dipercayai bersetuju menerima sogokan daripada ‘along’ pada 16 Ogos lalu.

"Suspek menerima RM18,000 pada hari sama dan RM2,000 pada 21 Ogos lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi mengesahkan penanahanan suspek.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 4:56 PM