Kok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya menipu dengan menggunakan gelaran Datuk, tiga tahun lalu. FOTO Sarah Zulkifli
Kok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya menipu dengan menggunakan gelaran Datuk, tiga tahun lalu. FOTO Sarah Zulkifli
Sarah Zulkifli


KONSULTAN kewangan bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan menipu dengan menggunakan gelaran Datuk, tiga tahun lalu.

Kok Chee Boon, 34, yang sebelum ini pernah didakwa atas tiga pertuduhan menerima deposit haram bernilai lebih RM16 juta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.

Mengikut pertuduhan, Kok didakwa menipu Lee King Loong dengan menyatakan dia adalah Datuk Dave Kok Chee Boo sedangkan gelaran itu belum dikurniakan dan ia dilakukan di No 12A, Jalan PJU 3/45, Sunway Damansara Technology Park, Kota Damansara, sekitar April 2014.

Bagi kesalahan itu, Kok didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta cagaran dengan seorang penjamin dan turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi kes didengar bersama kes tertuduh yang lain di Mahkamah Sesyen pada 5 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 4:57 PM