Jamil khir (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan. FOTO Nur Syazwana Mansor
Jamil khir (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor


PENGURUSAN sekolah aliran agama persendirian di negara ini disaran menyeimbangkan pendidikan akademik dan kokurikulum dalam kalangan pelajarnya bagi memberi nilai tambah kepada mereka dalam pasaran kerja kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pembabitan pelajar sekolah agama dalam bidang kokurikulum bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka sendiri bahkan kepada negara sekiranya mereka terpilih mewakili negara dalam sebarang acara kokurikulum di peringat kebangsaan dan sebagainya.

Katanya, pihaknya memahami kekangan tertentu dihadapi pihak pengurusan sekolah agama seperti kawasan untuk riadah dan sukan yang terhad.

"Ada sekolah yang tidak mempunyai padang dan dewan permainan menyebabkan mereka sukar untuk melakukan aktiviti sukan justeru kokurikulum itu tidak menjadi subjek yg menjadi tumpuan kepada pihak sekolah.

"Namun, di peringkat kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), kita ada anjurkan sukan di peringkat sekolah termasuk di peringkat kebangsaan untuk sekolah agama.

"Selain itu, kita juga adakan sukan di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk pelajar ini mempamerkan bakat mereka dalam acara sukan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan kepada Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan sekolah pondok bagi Zon Utara di Pejabat Agama Yan hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, dan Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Sebanyak RM10.18 juta bantuan diagihkan kepada 26 SMAR dan 18 sekolah pondok di Kedah manakala RM2.39 juta lagi bantuan diberikan kepada tujuh SMAR dan empat sekolah pondok dari Pulau Pinang.

Jamil Khir berkata, nilai sumbangan yang diberikan kepada penerima adalah berbeza berdasarkan bilangan pelajar sekolah masing-masing.

Katanya, syarat untuk mendapat bantuan ini adalah sekolah terbabit perlu berdaftar di negeri masing-masing.

"Saya dapat tahu masih ada sekolah agama persendirian yang tidak berdaftar, alasannya saya tidak pasti, mungkin disebabkan mereka tidak prihatin atau sudah mempunyai dana yang cukup untuk keperluan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 11:37 PM