PEMANDANGAN atas Jambatan Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN atas Jambatan Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
Rudy Syareme Sheriffudin / 16.8.2017


PLUS Malaysia Berhad akan melaksanakan penutupan lorong dan lencongan trafik di Jambatan Pulau Pinang selama satu tahun bagi kerja pemeriksaan dan penyelenggaran jambatan secara berjadual mulai 22 Ogos ini hingga 21 Ogos 2018.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata, kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan akan dibuat secara menyeluruh bagi memastikan struktur kabel Jambatan Pulau Pinang berada pada tahap terbaik untuk keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, penyelenggaraan kabel adalah elemen utama di Jambatan Pulau Pinang dan perlu diperiksa setiap empat tahun untuk mengesan sebarang kerosakan.

"Bagi membolehkan kerja komprehensif dijalankan penutupan lorong dan lencongan jalan terpaksa dibuat dan akan mengambil masa selama setahun.

"Bermula 22 Ogos ini antara laluan akan ditutup adalah laluan arah Timur (Pulau ke Seberang Prai) selama enam bulan pertama dan laluan arah barat (Seberang Prai ke Pulau) bagi 6 bulanberikutnya sehingga 21 Ogos 2018,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Justeru itu, PLUS menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang agar dapat merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan dilaksanakan.

"Sebagai alternatif orang ramai dinasihatkanmenggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang atau menggunakan perkhidmatan feri untuk perjalananlebih selesa," katanya.

PLUS turut menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi laman Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile App ataupun aplikasi Waze atau Google Maps.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:14 PM