Mangsa dibawa turun ke kaki bukit oleh pasukan bomba dan penyelamat. FOTO ihsan bomba
Mangsa dibawa turun ke kaki bukit oleh pasukan bomba dan penyelamat. FOTO ihsan bomba
Mohd Hasbi Sidek


PASUKAN bomba dan penyelamat membawa turun seorang wanita dari Bukit Broga, Semenyih, Kajang, yang terseliuh kedua-dua buku lali, tengah hari tadi.

Kejadian berlaku ketika penuntut Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) berusia 23 tahun itu sedang turun dari bukit kira-kira 12 tengah hari.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan khas membawa turun mangsa pada 12.07 tengah hari.

"Tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi.

"Sampai di lokasi, kami mendapati mangsa terjatuh di puncak 1 Bukit Broga ketika turun dari bukit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membawa turun mangsa menggunakan pengusung dan selamat tiba di kaki bukit kira-kira 2.30 petang.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:01 PM