SITI  Zaleha (kanan) mengetuai bacaan ikrar sambil diperhatikan  Wan Ramli  (tiga dari kanan).
SITI Zaleha (kanan) mengetuai bacaan ikrar sambil diperhatikan Wan Ramli (tiga dari kanan).

Shah Alam: Sebanyak 70 sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) sekali gus menjadikan Selangor antara negeri terbanyak melakukan ikrar berkenaan sejak dilaksanakan awal Januari lalu.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, penerimaan IBR sangat menggalakkan, malah pihak yang terbabit juga teruja serta memberikan kerjasama baik.

“Sejak melaksanakannya kita lihat masyarakat lebih peka terhadap gejala rasuah dan secara tidak langsung mereka takut menghampirinya (rasuah).

“Program IBR ini adalah ikrar membabitkan individu, ia memberi kesan berbanding sebelum ini hanya membabitkan wakil daripada organisasi saja.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang kes membabitkan rasuah di JAS Selangor dan berharap momentum berkenaan dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemui pada Sesi IBR Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, di sini, semalam.

Pada sesi berkenaan, lebih 50 kakitangan JAS hadir menandatangani serta melafazkan ikrar bebas rasuah diketuai Pengarah JAS Selangor Siti Zaleha Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 5:26 AM