Keadaan kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Telupid-Sandakan berhampiran simpang Beluran di Sandakan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Keadaan kenderaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Telupid-Sandakan berhampiran simpang Beluran di Sandakan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Hazsyah Abdul Rahman

DUA lelaki berusia 20-an dan 30-an maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Telupid-Sandakan berhampiran simpang Beluran di Sandakan, hari ini.

Difahamkan, kemalangan pada 4.25 petang membabitkan Proton Iswara Aeroback dan kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Rosemidian Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.28 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba didapati sebuah kereta bertembung dengan pacuan empat roda.

"Terdapat dua lelaki tersepit di dalam Proton Iswara Aeroback itu. Kita membantu mengeluarkan lelaki terbabit tetapi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

"Dua lagi penumpang Proton Iswara Aeroback yang cedera dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 8:55 PM