GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ibrahim Isa


PENAGIH dadah ditahan polis bagi membantu siasatan kes tikam seorang suri rumah di Taman Emas Merah, Pekan Nanas, Pontian, 2.30 petang semalam.

Ketua Polis daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada adik mangsa sejurus selepas kejadian dan bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

"Sebaik anggota dan pegawai tiba, kami menemui seorang wanita berusia 33 tahun terbaring di dalam parkir rumah teres setingkat dengan pisau masih tertusuk di perutnya.

"Anggota kami terus menghubungi pasukan perubatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan dihantar ke Hospital Pontian.

"Mangsa sempat menceritakan kejadian dan hasil maklumat orang ramai, kami menahan seorang lelaki di sebuah rumah di kawasan berhampiran beberapa jam kemudian," katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki berusia 46 tahun dan tidak bekerja itu positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk berkaitan narkotik, mencuri dan mencederakan orang.

"Suspek ditahan reman selama 6 hari sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:49 PM