PEGAWAI Audit Negara, Rosliza Razi (kanan) dan Siti Zulaiha Mustapar (kiri) menunjukkan laporan Ketua Audit Negara 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PEGAWAI Audit Negara, Rosliza Razi (kanan) dan Siti Zulaiha Mustapar (kiri) menunjukkan laporan Ketua Audit Negara 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BERNAMA

LAPORAN Ketua Audit Negara 2016 Siri 1, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, mengemukakan 353 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan dua syor terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2016, dengan 90 syor kepada aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan, 17 syor kepada syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan dan 244 syor terhadap pengurusan aktiviti dan kewangan kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

"Sebagaimana lazim, ketua jabatan berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1, mengandungi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan, pengurusan syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan serta pengurusan aktiviti dan kewangan kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri untuk tahun yang sama.

Ia dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Madinah berkata, laporan Ketua Audit Negara kali ini antara lain mengandungi pengesahan penyata kewangan kerajaan persekutuan, prestasi hasil kutipan kerajaan persekutuan, pengauditan pengurusan kewangan (indeks akauntabiliti) serta pengauditan prestasi terhadap program dan aktiviti kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau berkata, hasil Kerajaan Persekutuan pada 2016 berjumlah RM212.421 bilion berbanding RM219.089 bilion pada 2015.

Kutipan hasil menunjukkan trend penurunan berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia. Mengenai penarafan tahap prestasi pengurusan kewangan, sebanyak 25 kementerian, 18 jabatan persekutuan, 38 badan berkanun persekutuan, 138 kementerian/jabatan negeri, 41 badan berkanun negeri, 41 pihak berkuasa tempatan dan enam Majlis Agama Islam telah diaudit.

Bagi pengauditan prestasi terhadap program/aktiviti/projek kerajaan, Madinah berkata, 63 pengauditan prestasi dan 21 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri, merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan, hasil dan pengurusan syarikat.

Selain itu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan laporan maklum balas mengenai laporan itu yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan terhadap isu yang dilaporkan, kata beliau.

Menurut Madinah, 187 daripada 307 kementerian, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan, kementerian/jabatan negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan dan Majlis Agama Islam mendapat penarafan cemerlang (5 bintang).

"Sebanyak 25 kementerian memperoleh penarafan cemerlang berbanding 15 kementerian pada 2015," kata beliau. Madinah berkata, kandungan laporan itu berserta sinopsisnya boleh dilayari di laman sesawang Jabatan Audit Negara.

Katanya satu sesi bersama media mengenai Laporan Ketua Audit Negara akan diadakan Khamis (3 Ogos) di Auditorium Kompleks C, Putrajaya pada 12 tengah hari, yang akan dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan ketua-ketua setiausaha kementerian.

Sementara itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1, kesemua 25 kementerian mencapai tahap cemerlang pada tahun lalu berbanding dua tahun sebelumnya.

Menurut intisari laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Kewangan Kementerian/ Jabatan/ Badan Berkanun Persekutuan yang terkandung dalam laporan audit itu, prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan.

"Pada 2016, semua 25 (100 peratus) kementerian mencapai tahap cemerlang berbanding 16 (64 peratus) dan 20 (83.3 peratus) daripada 25 kementerian pada 2015 dan 24 kementerian pada 2014," menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen, hari ni.

Jabatan Audit Negara telah menjalankan pengauditan pengurusan kewangan (Indeks Akauntabiliti) di 25 kementerian, 18 jabatan Persekutuan yang diaudit secara tahunan dan 38 badan berkanun Persekutuan yang diaudit secara pusingan tiga tahun.

Ia bagi menilai sama ada pengurusan kewangan mereka telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 9:50 PM