Norizuan Shamsuddin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjadi agensi penguat kuasa pertama melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara serentak membabitkan semua kontinjen di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya terharu dengan kesungguhan dipamerkan PDRM dalam usaha mencegah kegiatan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Katanya, IBR memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh semua pimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti individu.

"PDRM adalah satu-satunya agensi penguat kuasa yang melaksanakan IBR secara serentak di seluruh negara dan ini membuktikan komitmen PDRM dalam memastikan integriti pasukan berada pada tahap tertinggi.

"Kita juga akan mengadakan kerjasama secara berterusan dengan PDRM melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pengukuhan integriti melalui pendidikan, latihan dan program kesedaran dalam usaha bagi memastikan semua pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan bebas dari penyalahgunaan kuasa serta rasuah," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani IBR PDRM, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 10:55 AM
Antara pegawai dan anggota PDRM melafazkan ikrar ketika majlis menandatangani ikrar bebas rasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak. Mohamad Shahril Badri Saali
Antara pegawai dan anggota PDRM melafazkan ikrar ketika majlis menandatangani ikrar bebas rasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak. Mohamad Shahril Badri Saali