Nadzreen Shah Mat Salim


LAPAN PULUH LIMA sukarelawan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tarian 'Flash Mob' sempena Kempen Tabung Pahlawan 2017 di Pintu Utama, Pusat Membeli Belah Pavilion, Kuala Lumpur, hari ini.

Persembahan memukau serta adegan tarian selama tujuh minit itu berjaya menambat hati orang ramai yang menyaksikan persembahan diadakan di lokasi itu yang juga tumpuan orang ramai dan pelancong luar.

Terdapat acara yang dijalankan secara spontan di mana seorang lelaki meniup saksofon di sebalik orang ramai dan diikuti dua lelaki meniup trompet alunan lagu penyanyi popular Aida Jebat, Pencuri Hati.

Beberapa kanak-kanak turut menyertai flash mob yang diakhiri pengibaran Jalur Gemilang.

Ketua Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, Adreena Abdul Majid berkata, kempen itu diadakan setiap tahun dan kelainan bagi tahun ini adalah persembahan 'Flash Mob' dijalankan bagi menunjukkan sokongan orang ramai dalam membantu kutipan tabung pahlawan.

"Ini adalah flash mob ketiga pada tahun ini. Sebelum ini, kami mengadakan flash mob di Pasar Seni dan Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

"Aktiviti ini meliputi musik, tarian, serta nyayian dan penyertaaan adalah dari sukarelawan MINDEF dan ATM," katanya.

Menurutnya, kempen ini diadakan 31 Julai setiap tahun, namun pada tahun ini ia dijalankan lebih awal iaitu pada Mei sehingga Disember 2017.

"Kempen ini diadakan lebih awal supaya sasaran kutipan RM5 juta dapat dicapai.

"Matlamatnya untuk membantu kebajikan anggota tentera sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Tabung ini diuruskan oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM)," katanya.

Katannya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia melalui MAYBANK (no akaun: 564717521826) atau CIMB BANK (no akaun 8602700401).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 7:05 PM
ANTARA sukarelawan yang menyertai 'Flash Mob'. FOTO ihsan ATM
ANTARA sukarelawan yang menyertai 'Flash Mob'. FOTO ihsan ATM