MOHAMAD Fauzi melayan tetamu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM.
MOHAMAD Fauzi melayan tetamu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM.

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang melengkapkan kertas siasatan kes dua polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang didakwa meminta suapan RM10,000 daripada dua ceti haram.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, walaupun anggota polis berpangkat koperal berusia 34 dan 37 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM, siasatan terhadap mereka tetap diteruskan.

Menurutnya, sebaik kertas siasatan lengkap, pihaknya akan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan sama ada boleh meneruskan pendakwaan atau tidak.

“Selain itu, siasatan terhadap dua along terbabit yang cuba merasuah RM1,290 kepada dua anggota polis itu pada April lalu juga masih berjalan,” katanya ditemui pada majlis Rumah Terbuka SPRM di Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, di sini, semalam.

Portal Berita Harian Metro 4 Julai lalu melaporkan dua koperal polis ditahan SPRM selepas disyaki meminta rasuah daripada ceti haram atau along di Sungai Petani.

Sumber berkata, kedua-dua anggota itu ditahan SPRM Cawangan Sungai Petani jam 2 petang.

Malah, sebelum itu, mereka turut menerima sijil penghargaan pada 31 Mei lalu atas tindakan murni menolak suapan daripada dua along terbabit.

Mengulas mengenai perkembangan lain, Mohd Fauzi berkata, bermula Januari hingga bulan ini saja 34 individu ditahan membabitkan kakitangan kerajaan dan orang awam terbabit dalam gejala rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 8:30 AM