Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Deputi Superintendan G Moses Govindarajoo (kiri) menunjukkan cek yang dirampas daripada kumpulan along. - Foto L MANIMARAN
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Deputi Superintendan G Moses Govindarajoo (kiri) menunjukkan cek yang dirampas daripada kumpulan along. - Foto L MANIMARAN
Muhammad Apendy Issahak


TIGA lelaki diberkas polis di Ipoh dan Batu Gajah, semalam, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan ceti haram dan memeras ugut seorang peniaga perabot.

Kumpulan along itu diberkas selepas mangsa, seorang lelaki berusia 49 tahun yang juga peniaga perabot di Pusing, Batu Gajah, membuat laporan polis pada Isnin lalu, mendakwa ditahan kumpulan terbabit dan dipaksa membuat bayaran pinjaman yang sudah pun dilunaskan kira-kira dua tahun lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Deputi Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, mangsa mendakwa membuat pinjaman secara berperingkat sebanyak RM350,000 daripada ceti haram terbabit pada 2010 hingga 2012 dan sudah membayar RM393,100 pada 2015.

“Bagaimanapun pada 11 Mei lalu, ketua along berkenaan bersama lima konconya datang ke kilang perabot mangsa dan membawanya ke sebuah premis perniagaan di Farlim, Ipoh, sebelum memaksa mangsa membayar RM350,000 lagi.

“Mangsa dipaksa menulis dan menandatangani 10 cek dengan setiap satu bernilai RM35,000 sebelum dilepaskan tanpa dicederakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Perak, di Sungai Senam, Ipoh hari ini.

Moses berkata, along berkenaan sudah menunaikan satu daripada cek berkenaan bulan lalu, dan susulan laporan dibuat mangsa, polis menasihat mangsa supaya menyekat bayaran sebelum sepasukan pegawai dan anggota JSJK Perak membuat dua tangkapan berasingan semalam.

“Ketua ceti haram berusia 65 tahun dan dua konconya berusia 57 serta 36 tahun ditahan di Farlim dan Batu Gajah kira-kira 11 pagi dan 3 petang.

"Polis masih mengesan lima lagi konco along yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan yang kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.

Menurutnya, melalui tangkapan berkenaan, polis merampas 15 cek dan lima telefon bimbit serta sebuah kereta jenis Proton Satria bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 4:53 PM