Muhaamad Hafis Nawawi


SIASATAN dua anggota polis yang didakwa meminta suapan RM10,000 daripada dua along masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, walaupun dua anggota polis berpangkat koperal berusia 34 dan 37 tahun itu sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM namun siasatan terhadap mereka tetap diteruskan.

Menurutnya, sebaik kertas siasatan lengkap, pihaknya akan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan sama ada boleh meneruskan pendakwaan atau tidak.

“Selain itu, siasatan terhadap dua along terbabit yang cuba merasuah RM1,290 kepada dua anggota polis itu pada April lalu, juga masih dalam siasatan," katanya yang ditemui pada majlis Rumah Terbuka SPRM di Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, hari ini.

Portal berita Harian Metro 4 Julai lalu, melaporkan dua koperal polis ditahan SPRM selepas disyaki meminta rasuah daripada ceti haram atau along di Sungai Petani.

Sumber berkata, kedua-dua anggota itu ditahan SPRM Cawangan Sungai Petani pada 2 petang.

Pada 31 Mei lalu, mereka menerima sijil penghargaan kerana menolak wang rasuah daripada dua along terbabit.

Dalam kejadian pada 2.20 petang 11 April lalu, ketika mereka melakukan rondaan harian di sekitar pusat beli belah di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, menemui poster ceti haram dalam kereta dua along terbabit sebelum membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun along terbabit cuba menyogok tetapi ditolak anggota polis itu yang kemudian menahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 3:26 PM