ANGGOTA polis diiringgi anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani. FOTO Omar Osman
ANGGOTA polis diiringgi anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani. FOTO Omar Osman
Omar Osman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat perintah reman empat hari terhadap dua anggota polis bagi membantu siasatan kes meminta rasuah daripada ceti haram atau along.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Sungai Petani, Adibah Husna Zainal Abidin selepas dipohon SPRM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau menetapkan kedua-dua suspek berpangkat koperal itu direman mulai semalam.

Harian Metro malam tadi melaporkan kedua-dua mereka yang berusia 34 dan 37 tahun ditahan SPRM Cawangan Sungai Petani pada 2 petang semalam susulan laporan dibuat oleh pengadu.

Mereka dikatakan meminta suapan RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengadu yang menjalankan kegiatan peminjaman wang haram.

Sementara itu, akhbar ini bulan lalu, melaporkan kedua-dua anggota terbabit menerima sijil penghargaan atas tindakan menolak wang rasuah.

Mereka menolak wang rasuah RM1,290 yang ditawarkan ketika mengambil tindakan terhadap dua lelaki kerana membawa poster pinjaman wang ceti haramatau along pada 11 April lalu ketika rondaan harian di sekitar pusat beli belah di Bandar Amanjaya, Sungai Petani.

Mereka menyifatkan tindakan itu demi menjaga nama baik pasukan polis serta maruah diri mereka daripada terpalit dengan kegiatan yang tidak bermoral itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 3:30 PM