Roslee   memberikan sumbangan kepada Syed Mohamad Farli   di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Roslee memberikan sumbangan kepada Syed Mohamad Farli di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Shamsul Munir Safini

Seberang Jaya: “Sebaik tidak dapat gerakkan kaki, saya hanya terbayang anak bini.”

Itu kata-kata Lans Koperal Syed Mohamad Farli Syed Alwi, 30, sejurus sedar selepas terjatuh dari tingkat tiga Hospital Kepala Batas (HKB) kerana mengejar suspek penagih dadah jam 7 malam Jumaat lalu.

Namun, nasibnya baik selepas dia hanya retak di tulang pinggul dan dapat menggerakkan kakinya selepas menerima rawatan.

Mengimbas kejadian itu, Syed Mohamad berkata, ketika itu dia mengiringi seorang suspek penagih dadah berusia 59 tahun yang menjalani pemeriksaan kesihatan di HKB kerana disyaki menghidap penyakit tibi.

Menurutnya, suspek itu digari pada katil sebelum mendapatkan rawatan daripada pihak hospital sementara dia menunggu di luar wad.

“Saya dimaklumkan pesakit lain bahawa suspek melarikan diri sebelum pemeriksaan di katilnya mendapati dia meloloskan tangannya daripada gari sebelum keluar dari tingkap di tingkat tiga hospital itu.

“Menyedari kejadian itu, saya mengejarnya dengan keluar dari tingkap dan ketika itu saya sempat memegang baju suspek sebelum berlaku pergelutan.

“Sebelah tangan saya memegang baju suspek, manakala sebelah lagi memegang tingkap menyebabkan saya hilang kawalan sebelum terjatuh ke tingkat bawah hospital dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, semalam.

Beliau menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik dan wakil agensi bukan kerajaan (NGO) Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang menyampaikan sumbangan kepadanya.

Syed Mohamad berkata, dia hanya sedar ketika ditempatkan di wad kecemasan HKB dan ketika itu, tidak dapat menggerakkan kaki serta sakit di bahagian pinggang.

Katanya, dia dirawat di HKB selama tiga hari sebelum dihantar ke HSJ bagi tujuan rawatan lanjutan dan nasibnya baik kerana tidak mengalami kecederaan parah serta mampu menggerakkan kaki.

Sementara itu, Roslee berkata, polis menahan suspek berkenaan sejurus kejadian dengan bantuan pengawal keselamatan HKB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 6:35 AM