Meor Riduwan Meor Ahmad


DUA konstabel polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi selepas disyaki meminta rasuah daripada ceti haram atau along di Sungai Petani.

Sumber berkata, kedua-dua anggota berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan SPRM Cawangan Sungai Petani pada 2 petang tadi.

"Anggota polis terbabit ditangkap kerana terbabit dalam permintaan wang rasuah berjumlah RM10,000 daripada pengadu yang menjalankan kegiatan peminjaman wang haram.

"Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengadu terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan itu dan anggota terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 10:14 PM